Pages

Monday, July 26, 2004

CORETAN SEMPAI

Assalamualaikum wbt..

Nak kongsi ngn korang tulisan yang aku kirim kat kohai utk dimuatkan dalam majalah RPKJ (Risalah Pemantapan Kerohanian & Jatidiri) terbitan biro Kerohanian RPKJ. Heh.. maju dah diorang ni sekarang. Time aku dulu takde pun buat camni. Bagus2..

okeh la.. takmo cakap panjang.. baca aje lah ek.... :)

.............................................................................

Nama : Mokhzani bin Mokhtar
Dai : 名古屋工業大学 3年生 機械工学科
Yahoo ID dan email : mokhz6@yahoo.com

Assalamualaikum wbt kepada Adik2 semua..

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dalam ruangan ini Allah swt memberi kita peluang utk merapatkan ukhwah sesama kita. Walaupun kita berjauhan tapi tautan hati atas ikatan aqidah amnya dan ikatan 関係 Sempai-Kohai khususnya, menjadikan hati kita dekat walaupun hanya melalui ruangan ini.

InsyaAllah di kesempatan ini, abang akan ceritakan sedikit sebanyak pengalaman abang di AAJ dan Bumi Sakura ini. Di AAJ abang menjadi Presiden bagi batch abang iaitu batch 19. Biasalah hidup di AAJ, banyak suka duka yang kami lalui dan rasanya adik-adik pun sudah merasa. Mungkin yang adik-adik tak merasa ialah kami dulu duduk di kolej yang berasingan masa 1nen. Abang dulu duduk kolej 3rd. Jadi pagi-pagi berjalan dari Kolej 3rd ke AAJ tu satu perkara biasa dan kadang-kadang terpaksa berlari kerana 寝坊. Bila naik 2nen kami duduk di Kolej 5th bersama dengan sempai-sempai adik-adik dulu.

Antara suka duka yang kami lalui ialah oriented, Sobetsukai utk sempai (kami anjurkan), 単元 testo, 追試 単元 testo, 試験Sem 3, Sobetsukai yang kohai kami buat utk kami, Mombusho 試験, hari bersejarah iaitu pengumuman keputusan Mombusho 試験dan akhir sekali iaitu Majlis Penyampaian Sijil di Putrajaya. Semuanya kami harungi bersama, walaupun ada antara kami yang ditakdirkan tidak dapat melepasi halangan-halangan yang ada, dan tidak dapat meneruskan pengajian di Jepun. Semua itu rezeki masing-masing dan ada hikmah di sebaliknya. Jadi kepada mereka yang lepas, bersyukurlah dan gunakan sebaik-baiknya peluang yang ada utk terus berjaya apabila sampai di Jepun nanti. Jangan sia-siakan amanah yang bakal diberikan kepada adik-adik semua.

Abang tiba di Jepun lebih kurang 2 tahun yang lepas iaitu pada bulan Mei 2002 di Kansai. Setibanya di Lapangan Terbang Kansai, kami diberitahu bahawa suhu di luar ialah 8℃. Terkejut juga kami, kerana tidak menyangka suhu begitu sejuk. Kami pun mula bersedia untuk menjejakkan langkah pertama kami di bumi Jepun ini. Keluar saja dari airport, walaupun suhu begitu sejuk, namun ia tidak kami endahkan. Kami begitu gembira kerana akhirnya dapat juga menjejakkan kaki di bumi Jepun ini.

Abang ingat lagi waktu itu, masing-masing yang kebanyakannya belum pernah menjejakkan kaki di bumi asing seperti ini, begitu jakun. Kami tarik nafas dalam-dalam dan kami hembuskan, dan keluarlah wap air seperti asap yang agak banyak di sebabkan suhu terlampau sejuk. なつかしいね。。bila teringat balik. Tapi lama-lama kami mula rasa tak selesa kerana kesejukan yang melampau itu. Kami rasa lega bila bas sampai. Dan kami rasa tak puas hati bila melihat atendan bas itu dengan selambanya hanya pakai skirt sahaja sedangkan suhu di luar begitu sejuk. Setelah beg dimasukkan, kami mula bergerak ke tempat penginapan sementara utk taklimat sebelum di hantar ke dai masing-masing. Dalam bas, abang terfikir, inilah dia Jepun yang akan abang melalui kehidupan di sini utk 4 tahun mendatang. Dan sejak hari itu, sekarang sudah 2 tahun lebih abang berada di sini. Begitu pantasnya masa berlalu.

Abang tiba di Nagoya bersama 9 orang sahabat yang lain dengan 新幹線. Itulah kali pertama abang naik shinkansen. Mungkin kalau adik-adik berpeluang, adik-adik akan dapat naik utk ke dai masing-masing. Shinkansen memang laju. Bayangkan dari Tokyo ke Nagoya perlukan lebih kurang 4 jam dengan kereta. Tapi kalau naik shinkansen hanya sejam lebih saja. Macam naik komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur saja.

Sampai di Nagoya abang berkenalan dengan sempai-sempai yang sudah lama berada di sini. Ada yang sudah habis dan akan pulang beberapa hari lagi. Dan ada juga sempai-sempai batch atas setahun yang abang dah kenal di AAJ. Alhamdulillah mereka semua baik-baik belaka dan semuanya menolong kami dengan segala urusan yang perlu. Menyiapkan 外国人登録書, buku akaun bank dan lain-lain lagi. Kemudian kami pergi membeli belah dan antara benda yang sangat penting dan perlu ada ialah basikal. Di Nagoya, universiti, tempat tinggal dan bandar boleh diakses hanya dengan berbasikal. Jadi basikal adalah sangat penting. Bukan Nagoya sahaja, tapi abang rasa di tempat lain juga basikal sangat diperlukan. Cuma di setengah tempat, bandarnya agak jauh dan hanya boleh pergi dengan densya.

Tidak lama selepas itu ialah hari入学式 dan pada minggu itu juga kuliah pun bermula. Maka secara rasminya abang sudah menjadi pelajar tahun satu di 名工大. Sejak daripada itu bermulalah hidup abang dan kawan-kawan satu batch di dalam komuniti kecil masyarakat Malaysia di Nagoya. Abang rasa bersyukur kerana dipilih utk ke Nagoya, kerana di Nagoya suasana Islam di kalangan rakyat Malaysia dan juga negara lain agak terjaga. Ini memandangkan kerana Nagoya adalah bandar yang agak besar dan di sini ada 2 buah masjid dan ramai muslim. Masjid yang pertama ialah Masjid Nagoya dan satu lagi iaitu Masjid Shin Anjo yang juga berada di dalam Aichi-ken.

Di kalangan sempai-sempai, abang mula berkenalan dengan sempai-sempai yang baik-baik dan suka kepada majlis-majlis agama. Salah seorang daripadanya ialah Zaid Sensei yang menjadi sensei adik-adik di AAJ. Zaid Sensei belajar di Nagoya Daigaku sebelum ini. Alhamdulillah abang sempat bertemu dan bersama dengan beliau lebih kurang setahun. Untuk pengetahuan adik-adik kami di sini akan berkumpul pada setiap hari Jumaat malam Sabtu utk membaca Al-Quran secara tadarus dan memperdengarkan Tazkirah. Malam ini kami panggil Malam Tadarus, dan kalau tak silap abang, Zaid Senseilah yang mula-mula mengadakan malam tadarus ini. Alhamdulillah sampai sekarang ia masih berterusan dan semakin baik dari semasa ke semasa, kerana sekarang bukan setakat tazkirah biasa malah kami juga belajar tajwid Al-Quran.

Hari-hari pembelajaran berterusan seperti biasa dan sememangnya agak susah study di Jepun. Di sini kita tak boleh guna cara kita 勉強 di Malaysia, iaitu dah dekat nak 試験 baru nak 勉強. Sebab subjek yang kita ambil agak banyak dan semuanya banyak style 計算 bagi engineering. So mau tak mau kita memang kena study awal dan kena fahamkan setiap 授業 yang kita ikuti. Barulah waktu 試験 kita tak rasa banyak sangat nak study. Dan kita ada satu kelemahan iaitu gap bahasa antara kita dengan pelajaran kita. Kelemahan ini kalau kita tak pandai nak atasi, maka kita akan bertambah susah dalam belajar. Kita kena rajin bertanya sekalipun kadang-kadang segan. Dan pastikan kita ada kawan 日本人 atau 外人 lain yang betul-betul dapat membantu kita dalam pelajaran. Kadang-kadang kita tak faham kanji yang sensei tulis. Maka kita kena usaha utk fahamkan kanji tu. Dengan cara ini dan bersungguh-sungguh 勉強 insyaAllah kita akan mudah dalam study kita di Jepun ini.

Masa cuti pun tiba dan kawan-kawan satu batch abang ramai yang memilih utk pergi 旅行 dan ada juga yang memilih utk pulang ke Malaysia. Dan dalam masa yang sama IPIJ ada juga membuat program-program yang mana ustaz-ustaz dari Malaysia dijemput hadir untuk memberikan ceramah. Dan program-program ini diadakan pada setiap kali cuti yang panjang-panjang. Program IPIJ diadakan pada cuti Golden Week iaitu cuti seminggu pada bulan Mei, cuti Natsu pada bulan 8  dan cuti Fuyu pada bulan 12. Dan biasanya program-program ini juga diadakan di tempat-tempat yang berbeza dan juga menarik. Pada waktu Golden Week dan Fuyu biasanya program yang diadakan berbentuk kuliah dan pengisian indoor sahaja, tetapi pada cuti Natsu, Summer Camp yang diadakan biasanya dibuat outdoor activities dengan bercamping, panjat gunung, mandi sungai dan sebagainya. Jadi abang lebih tertarik utk menyertai program-program anjuran IPIJ kerana di samping dapat 旅行 melihat tempat orang, abang juga akan dapat menyertai kuliah ilmu yang dianjurkan.

Disamping itu waktu cuti juga, abang isi dengan bersama-sama Zaid Sensei keluar tabligh dan bertemu dengan ramai orang Islam yang ada di Jepun, terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung. Alhamdulillah dalam masa 2 tahun lebih abang berada di Jepun ini, banyak tempat yang abang dah pernah jejakkan kaki dengan menyertai program IPIJ dan Tabligh ini, walaupun abang belum pernah sampai di Hokkaido dan Kyushu. Tempat-tempat itu ialah, Tokyo, Yamanashi, Gunma, Nagaoka, Niigata, Toyama, kawasan Tokai ( Aichi, Gifu, Mie, Toyohashi), Osaka, Kobe, Shikoku, Tsukuba, Yokohama, Shizuoka dan Saitama. Dan abang dah 4 kali atau lebih pergi ke Tokyo. Abang pun ingat-ingat lupa. Kadang-kadang abang travel dengan kereta sempai, dan ada beberapa kali abang sendiri yang bawa. Dan pada masa 1nen dulu abang pernah travel dari Yamanashi ke Nagoya dengan naik motor bersama dengan kawan abang. Kadang-kadang naik densya dan shinkansen. Seingat abang dah 3 kali rasanya abang naik shinkansen. 1st ialah masa mula-mula sampai, 2nd masa tahun 1 pulang dari Tokyo dan kali ke 3 dari Tokyo pulang ke Nagoya pada cuti Golden Week baru-baru ini. Tak boleh naik selalu, sebab mahal.

Anyway, betullah cakap orang tua-tua, semakin jauh kita berjalan semakin luas pengalaman. Alhamdulillah banyak yang abang dapat belajar sepanjang abang berjalan dan mengenal masyarakat Jepun. Jadi abang nasihatkan kepada adik-adik agar bila dah sampai di Jepun nanti banyak-banyaklah berjalan dan luaskan pengalaman. Jangan jadi katak bawah tempurung dengan hanya duduk di dai kita saja. Nanti akan ada antara kita yang bila duduk Tokyo saja 2 tahun lebih, sekali bila pergi ke kawasan kampung di Jepun, dia terkejut, kerana disangkakan semua kawasan di Jepun ni maju macam Tokyo. Ada kawan kita yang macam tu. Padahal ada juga kawasan di Jepun ini saling tak tumpah macam kampung kita kat Malaysia, dengan sawahnya dan lain-lain lagi.

Ambillah masa utk kenal dengan budaya Jepun dan masyarakat Jepun dan perhatikan nilai-nilai moral yang ada pada mereka. Dan bagaimana mereka bina tamadun mereka sehinggakan walaupun mereka maju dari segi teknologi tapi nilai-nilai moral mereka juga tidak luput dari diri mereka. Sehinggakan Jepun diiktiraf sebagai negara yang paling selamat di dunia. Sempai abang tak pernah kunci kereta dia. Tak hilang pun. Inilah dia Jepun dan kita ingin lihat dan muhasabah diri kita sebagai umat Islam. Kerana keindahan budaya ini sebenarnya sudah lama ada dalam Islam, cuma kita sebagai umat Islam saja yang tak beramal dengannya.

Setakat inilah sedikit sebanyak yang mampu abang coretkan. Sekiranya adik-adik rajin, bolehlah melawat weblog abang iaitu http://inazhkom.blogspot.com/ utk mendengar lagi cerita-cerita tentang pengalaman abang di Jepun. InsyaAllah abang doakan semoga adik-adik semua berjaya dalam peperiksaan Mombusho di samping sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah, kerana Allah sahajalah tempat kita pergantungan kita.

Sekian Wassalam.


Bersama dengan kawan-kawan dan seorang sahabat dari Nigeria pada Hari Raya Aidil Fitri. Abang kanan sekali berbaju biru. Posted by Hello

0 comments: